|
Seorang sahabat pena anda telah mendapat tahu
tentang usaha-usaha gigih Malaysia dalam
mengatasi masalah perkauman. Beliau ingin
mengetahui dengan lebih lanjut berhubung dengan
langkah yang diambil oleh kerajaan Malaysia
untuk mengatasi masalah tersebut. Jawab surat
sahabat anda itu selengkapnya.
110, Taman Heng Guan,
Jalan
Matang,
93050
Kuching,
Sarawak.
24
Januari 2000
Menemui sahabatku yang diingati, Husna Hafiza
semoga berada dalam keadaan sihat selalu
hendaknya.
Saudari Husna,
Saya berasa gembira menerima surat daripada
saudari dan telah pun memahami isi kandungannya.
Seperti yang saudari maklum, kerajaan Malaysia
berusaha dengan gigih untuk mengatasi masalah
perkauman, namun sebenarnya memupuk perpaduan
secara total amatlah rumit. Hal ini demikian
kerana Malaysia terdiri daripada masyarakat
majmuk dan mereka pula sudah lama diajar hidup
berpuak-puak sejak zaman imperialisme dahulu.
Tambahan pula, amalan hidup, kepercayaan, adat,
dan cara hidup yang berbeza menyebabkan
terhalangnya kegiatan hidup bersama.
Saudari Husna,
Selepas merdeka, kerajaan menyedari bahawa
wujudnya perpecahan kerana terdapat kegiatan
ekonomi mengikut kaum dan sektor. Umpamanya,
kaum Cina dengan aktiviti perniagaan, hidup
mewah serta tinggal di bandar. Orang Melayu pula
terlibat dalam bidang pertanian, miskin, dan
tinggal di luar bandar. Manakala, kaum India
bekerja sebagai penoreh getah dan tinggal di
estet-estet. Jurang perbezaan ekonomi ini
menjadi punca masalah perkauman. Ekonomi negara
yang hanya dikuasai oleh sesuatu kaum akan
menimbulkan perasaan curiga dan iri hati di
kalangan kaum-kaum yang lain.
Keadaan yang sedemikian menyebabkan kerajaan
telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB)
yang bermatlamat menyusun semula masyarakat dan
membasmi kemiskinan. Selepas tamat tempoh DEB
tahun 1990, langkah-langkah tersebut memerlukan
susulan, lalu kerajaan mewujudkan pula Dasar
Pembangunan Nasional (DPN) yang antara lainnya
bertujuan untuk menyusun ekonomi secara lebih
sistematik.
Saudari Husna,
Melalui langkah-langkah sosial pula, kerajaan
berusaha mewujudkan kegiatan sosial secara
bersama seperti sukan, permainan, pertubuhan
belia, rukun tetangga, dan terkini melalui
program Rakan Muda. Kerajaan juga menekankan
pentingnya semangat kejiranan, bergotong-royong
dan lain-lain aktiviti kemasyarakatan. Pada
musim-musim perayaan pula, kita digalakkan
kunjung-mengunjungi antara satu sama lain.
Pendekatan sosial ini diharap dapat mewujudkan
sikap saling memahami, menghormati, dan
toleransi antara sesama kaum.
Langkah seterusnya yang dilakukan oleh kerajaan
adalah melalui sistem pendidikan. Melalui Sistem
Pendidikan Kebangsaan terutamanya, telah
dirancang satu sistem yang seragam dan
menyeluruh berteraskan cita-cita kebangsaan. Ini
termasuklah menjadikan bahasa Malaysia sebagai
bahasa kebangsaan, diikuti sukatan pelajaran dan
corak peperiksaan yang sama. Dengan ini, akan
lahirlah masyarakat yang sama dan seragam dan
seterusnya tersemailah semangat perpaduan di
kalangan penduduk.
Untuk pengetahuan saudari,
sistem politik negara ini berasaskan konsep
Demokrasi Berpalimen. Ini bererti kita bebas
bercakap, mengeluarkan pendapat, dan bebas
berpolitik. Namun kebebasan ini hendaklah tidak
sampai menimbulkan isu-isu sensitif yang boleh
menyentuh isu perkauman. Tambahan pula
perkara-perkara yang sensitif yang akan
menyemarakkan lagi semangat perkauman. Oleh yang
demikian, kerajaan boleh mengenakan tindakan
terhadap mereka yang terlibat mengikut Akta
Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri OSA
dan (ISA).
Saudari Husna,
Sebenarnya, usaha-usaha mengatasi masalah
perkauman adalah amatlah sukar.
Walau bagaimanapun, melalui usaha yang
bersungguh-sungguh, cita-cita tersebut pasti
akan tercapai. Di samping itu, rakyat yang
bernaung di bawah langit Malaysia hendaklah
sanggup berkorban, saling memahami, dan turut
bekerjasama bagi menjayakan cita-cita perpaduan
negara.
Sekian sahaja coretan saya untuk kali ini. Jika
umur panjang, kita jumpa lagi.
Yang
Ikhlas,
................................
(NURUL HIDAYAH)
|