|
Persatuan Bahasa
Malaysia di sekolah anda telah mengadakan
lawatan ke Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur baru –baru ini. Anda sebagai setiausaha
persatuan itu dikehandaki menulis satu laporan
lengkap tentang lawatan tersebut. Tulis laporan itu.
Laporan
Lawatan Sambil Belajar ke Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Pada cuti penggal
kedua yang lalu, Persatuan Bahasa Malaysia,
Sekolah Menengah Tanjong Karang, Selangor telah
mengadakan lawatan sambil belajar ke Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Lawatan yang
diadakan pada hari Sabtu, 29 Januari 2006
disertai oleh sebanyak 40 orang ahli persatuan
dan dua orang guru penasihat.
Objektif lawatan
tersebut adalah untuk mengenali buku-buku
bermutu keluaran DBP, mengetahui cara-cara buku
diterbitkan, dan untuk menimba pengetahuan
selaras dengan konsep lawatan sambil belajar.
Sebelum bertolak,
guru penasihat kami mengingatkan para pelajar
supaya menjaga disiplin dan nama baik sekolah
semasa di sana. Selepas mendengar pesanan beliau,
barulah rombongan kami bertolah dari sekolah.
Kami tiba di
Dewan Bahasa dan Pustaka tepat pukul 11.00 pagi.
Rombongan kami disambut oleh Pegawai Perhubungan
Awam Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau memberi
penerangan tentang sejarah penubuhan DBP dan
tujuan penubuhannya. Kami juga diberi taklimat
ringkas tentang bahagian-bahagian yang akan kami
lawati. Sebelum itu, kami diberi satu naskah
majalah Pelita Bahasa keluaran DBP secara
percuma.
Tempat pertama
yang menjadi destinasi kami adalah ke bahagian
pameran. Semasa berada di bahagian ini kami
berpeluang melihat berbagai-bagai jenis buku
yang dikeluarkan oleh DBP sama ada buku-buku
lama atau buku-buku baru. Buku-buku tersebut
ditulis dalam bahasa Malaysia dan bahasa
Inggeris yang merangkumi buku-buku agama,
politik, ekonomi, dan bahasa. Kami juga
berpeluang mengenali berbagai-bagai jenis
majalah seperti majalah Pelita Bahasa, Dewan
Masyarakat, Dewan Siswa, Dewan Pelajar dan
lain-lain. Kami juga diberi beberapa maklumat
tentang buku-buku dan majalah-majalah tersebut
terutamanya apabila timbul beberapa kemusykilan.
Selepas itu, kami
dibawa ke bahagian pencetakan. Di sini, kami
melihat dengan jelas cara-cara buku dan majalah
dicetak. Kami perhatikan buku-buku tersebut
dicetak dengan begitu pantas dengan menggunakan
alat-alat yang canggih, teknik-teknik yang
sistematik, yang diusahakan oleh pekerja-pekerja
yang mahir dan cekap. Kami juga dapat melihat
dengan jelas cara buku-buku itu dijilid, disusun,
dan sebagainya.
Sebelum pulang,
kami tidak melepaskan peluang untuk membeli
beberapa buah buku bagi kegunaan kami. Hal ini
demikian kerana kami diberi potongan harga
istimewa oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kira-kira pukul 3.00 petang, selepas dihidangkan
jamuan ringan, kami mula bertolak keluar dari
perkarangan DBP. Lawatan tersebut telah
menimbulkan banyak faedah kepada kami. Antara
faedah-faedahnya ialah kami dapat mengenali
buku-buku bermutu keluaran DBP. Buku-buku
tersebut didapati telah menjadi bahan rujukan
utama sama ada oleh para pelajar, mahasiswa,
mahupun orang perseorangan.
Selain itu,
lawatan tersebut dapat menyemai minat dan budaya
membaca di kalangan pelajar. Sekurang-kurangnya
timbul keinsafan dan kesedaran di hati kami
tentang betapa pentingnya membaca untuk menambah
pelbagai maklumat dan pengetahuan. Lawatan
sambil belajar yang kami anjurkan ini dianggap
berkesan kerana kami dapat menimba ilmu dan
meluaskan pengetahuan.
Walaupun lawatan
seumpama ini pertama kali dianjurkan oleh
persatuan kami, namun lawatan ini sangat
berhasil. Harapan kami agar lebih banyak pelajar
di sekolah ini menyertai lawatan sambil belajar
pada masa depan.
Dilaporkan Oleh, 12
FEBRUARI 2006.
Hasnul
………………………………
(HASNUL HAFIZ
HASSAN)
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Malaysia,
Sekolah Menengah
Tanjong Karang,
Selangor.
|