|
Anda pemberita
dari sebuah akhbar tempatan. Anda diminta
menulis rencana yang berkaitan dengan keracunan
makanan. Tulislah rencana
tersebut selengkapnya.
Bahaya Keracunan
Makanan.
Oleh: Khairul
Faizin Ahmad
Sejak kebelakangan ini, kita sering mendengar
berita tentang berlakunya kes keracunan makanan.
Lebih malang lagi, apabila berlakunya kematian
yang berpunca daripada keracunan makanan
sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.
Menurut
sumber-sumber daripada Kementerian Kesihatan,
dari Januari hingga Ogos tahun ini, terdapat
tiga belas kes kerecunan makanan yang melibatkan
801 orang termasuk satu kematian. Daripada
jumlah tersebut, 601 mangsa terdiri daripada
pelajar-pelajar sekolah.
Ini jelas
menunjukkan bahawa golongan pelajar merupakan
golongan paling tinggi yang terlibat dengan
keracunan makanan. Hal ini berlaku kerana
golongan pelajar khususnya yang tinggal di
asrama sering terdedah kepada penyediaan makanan
yang tidak sempurna di kantin atau di asrama
sekolah. Selain golongan pelajar, golongan
kanak-kanak yang sememangnya mempunyai daya
ketahanan baban yang lemah juga sering diserang
oleh keracunan makanan.
Walau bagaimanapun,
terdapat banyak kes yang tidak dilaporkan. Hal
ini demikian kerana sebahagian daripada
masyarakat masih kurang mempunyai pengetahuan
tentang wabak ini. Golongan ini, biasanya
terdiri daripada masyarakat luar bandar.
Menurut Doktor
Ramlah Yaakub, dari Hospital Universiti Petaling
Jaya, punca keracunan makanan adalah akibat
daripada proses penyediaan makanan yang tidak
sempurna seperti makanan yang kotor, tidak
dimasak dengan baik, dan makanan yang terdedah
kepada persekitaran suhu 30 darjah C. Di
samping itu, terdapat juga buah-buahan dan
sayur-sayuran yang tidak dicuci serta tangan
pemakan itu sendiri yang tidak berbasuh sebelum
memegang makanan.
Beliau menjelaskan
lagi bahawa kebanyakan kes keracunan makanan
disebabkan oleh bekteria, mikroorganisma, virus
racun atau toksin, dan bahan-bahan kimia.
Makanan yang sering dijangkiti oleh bakteria dan
keracunan ialah susu atau keju, masakan berlemak
seperti nasi lemak dan mi, roti, kuih-muih,
daging, ayam, dan ikan. Makanan-makanan lain
adalah seperti makanan dalam tin, makanan basah,
dan berair yang didedahkan di tempat panas. Tin
yang kemek membolehkan mikroorganisma menyerang
makanan di dalam tin melalui lubang-lubang halus
di bahagian yang kemek itu. Keracunan juga
disebabkan oleh kulat atau cendawan beracun yang
membiak pada makanan serta haiwan-haiwan beracun
seperti siput, katak, dan ular.
Tanda-tanda umum
keracunan makanan ialah rasa mual, muntah,
cirit-birit, pening-pening, dan gangguan perut.
Selain tanda-tanda umum, pesakit juga mungkin
mengalami demam, kelesuan, dan tiada selera
makan. Kesan daripada keracuan makanan ialah
kehilangan air dalam badan pesakit. Sekiranya
tubuh pesakit kekurangan air yang terlalu serius,
pesakit mungkin berkeadaan kritikal. Bagi kes
yang lebih parah, kerosakan hati dan sistem
saraf boleh berlaku dan boleh membawa maut.
Walaupun kesan
keracunan makanan sering menyerang banyak orang,
namun kesedaran secara menyeluruh tentang bahaya
keracunan ini belum wujud. Kita sebenarnya
mempunyai Akta Makanan 1983 yang bertujuan
melindungi orang ramai tentang kesalahan
penipuan dalam penyediaan dan penjualan makanan.
Walau bagaimanapun, setakat ini, jarang kita
dengar mereka didakwa kerana kesalahan tersebut.
Oleh sebab kes
keracunan makanan khususnya di sekolah merupakan
satu masalah yang serius, semua pihak termasuk
pengetua, guru-guru, ibu bapa, dan anggota
masyarakat yang lain mestilah memberi kerjasama
untuk mengatasi masalah tersebut. Pihak sekolah
boleh bertindak dengan menarik balik tender yang
diberikan kepada pengusaha-pengusaha kantin atau
asrama yang tidak mematuhi garis panduan yang
ditetapkan. Ibu bapa pula boleh memberikan
didikan kepada anak-anak tentang betapa
pentingnya makan makanan yang bersih dan
berkhasiat di samping menggalakkan mereka
membawa bekal ke sekolah.
|