|
“Bersatu Teguh Bercerai Roboh” seterusnya
menjadi amalan berguna untuk menentukan kejayaan
sesebuah negara.
Huraikan
pandangan anda terhadap pernyataan di atas.
“Bersatu Teguh Bercerai Roboh” merupakan satu
cogan kata yang dalam maknanya untuk diamalkan
oleh manusia sejagat demi mencapai kesejahteraan
hidup. Cogan kata ini menggesa seluruh
masyarakat bersatu dan berganding bahu dalam
melakukan sesuatu pekerjaan atau menyelesaikan
sesuatu masalah supaya mereka dapat hidup dalam
suasana yang sejahtera, utuh, dan harmoni.
Sebaliknya, jika kita bercerai-cerai,
berpecah-belah, dan mementingkan diri sendiri,
kita akan mengalami huru-hara dan kehancuran.
Dalam
konteks negara Malaysia yang terdiri daripada
rakyat yang berbilang kaum, kita haruslah
menghayati peribahasa ini dengan hidup bersatu
padu tanpa mengira bangsa, agama, dan adat resam.
Untuk mencapai kemajuan nagara, masyarakat harus
hidup dalam suasana aman dan damai.
Semangat bersatu padu boleh disemai dan dipupuk
di kalangan jiran tetangga melalui semangat
kejiranan, khususnya di kawasan bandar yang
semangat kejiranannya dikatakan semakin luntur.
Kita yang tinggal di kawasan bandar sering
berjauhan dengan keluarga dan kaum kerabat. Jadi,
jiranlah yang menjadi saudara mara kita yang
terdekat. Melalui hubungan sedemikian,
masalah-masalah sosial seperti kecurian dan
rompakan dapat dikurangkan. “Jiran sepakat
membawa berkat” juga dapat diperhatikan melalui
suasana kemesraan, tolong-menolong, dan saling
menjaga kebajikan sesama mereka.
Semangat gotong-royong, iaitu dengan melakukan
kerja secara beramai-ramai juga akan mempererat
hubungan sosial antara anggota masyarakat dan
seterusnya dapat melahirkan perasaan kekitaan
dan kesedaran kebangsaan. Selain itu, dengan
adanya aktiviti bergotong-royong, masa, tenaga,
dan perbelanjaan individu, masyarakat, dan
negara dapat dijimatkan. Ini juga bermakna,
sesuatu kerja berat akan menjadi ringan apabila
dilakukan bersama, bak kata pepatah “ berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing”.
Dalam
bidang pentadbiran, sama ada di sektor swasta
atau di sektor kerajaan, semangat bersatu di
kalangan pekerjanya juga harus dipupuk.
Sekiranya semangat ini diabaikan, maka sesebuah
organisasi itu tidak akan maju. Hal ini terjadi
kerana tidak ada kerjasama antara semua pihak
untuk memajukan organisasi tersebut. Jika hanya
pihak tertentu sahaja yang bekerja bertungkus
lumus, sedangkan pihak yang lain tidak memberi
komitmen, maka kejayaan cemerlang tidak akan
tercapai. Oleh yang demikian, semangat seperti
“aur dengan tebing” perlu dijadikan panduan demi
meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi.
Di
peringkat nasional, memang tidak dinafikan lagi
tentang kepentingan semangat bersatu itu. Misi
dan visi yang dirancangkan oleh kerajaan untuk
memajukan negara bukan setakat memerlukan
kerjasama semua rakyat, malahan kerajaan dan
rakyat harus bersatu dan berganding bahu untuk
menjayakannya. Usaha-usaha kerajaan untuk
meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat
tidak akan menjadi realiti, sekiranya tidak ada
tindak balas positif daripada rakyat
keseluruhannya. Jika segelintir sahaja yang
menyahutnya, maka kempen-kempen dan
program-program kerajaan seperti inflasi sifar,
cintai alam sekitar, budaya membaca, dan
lain-lain akan gagal.
Tambahan pula, negara sekarang sedang mengalami
masalah ekonomi. Oleh sebab itu rakyat harus
bersama-sama membantu memulihkan keadaan supaya
tidak bertambah teruk. Rakyat dan kerajaan tidak
boleh mementingkan diri sendiri kerana masalah
yang melanda negara dirasai bersama-sama.
Oleh
yang demikian, dapatlah kita katakan bahawa
pepatah “Bersatu teguh bercerai roboh” amat
penting untuk dijadikan teras dalam mencapai
kejayaan. Jika masyarakat berpecah-belah dan
bercerai-berai, sudah pasti berbagai-bagai
masalah negara akan timbul seperti kes jenayah,
pengangguran, kemiskinan, rusuhan kaum, dan
lain-lain. Sesungguhnya keadaan sosial yang
tidak stabil akan membantut usaha kerajaan untuk
memajukan negara. Oleh itu, marilah kita beramal
dan berpegang teguh dengan peribahasa “Bersatu
teguh bercerai roboh” demi kebahagiaan kita
semua.
|