|
Contoh 1
Contoh
Karangan : Gambar Tunggal
Lihat
gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat
anda berdasarkan gambar tersebut. Panjang
huraian anda antara
200 hingga 250 patah perkataan.
PENCEMARAN

Contoh Jawapan
Pencemaran alam
sekitar sudah menjadi lumrah di negara-negara
maju. Pencemaran seolah-olah tidak dapat
dielakkan jika terdapat sebarang aktiviti
pembangunan di sesuatu tempat. Pencemaran boleh
diklasifikasikan kepada beberapa beberapa
keadaan seperti pencemaran udara, iklim, tanah
dan air.
Pencemaran boleh memudaratkan kesihatan manusia.
Pencemaran udara menyebabkan manusia bernafas
dalam udara yang tidak bersih dan terdedah
kepada penyakit berbahaya seperti asma.
Pencemaran iklim pula mengakibatkan penipisan
lapisan ozon di atmosfera dan mewujudkan kesan
rumah kaca. Penipisan lapisan ozon menyebabkan
cahaya ultra ungu matahari yang berbahaya kepada
kulit manusia menembusi atmosfera. Kesan rumah
kaca pula mengakibatkan suhu bumi meningkat
sehingga boleh mencairkan ketulan air batu di
kutub utara atau selatan. Akibatnya paras air
laut akan meningkat.
Pencemaran juga boleh mengakibatkan hakisan dan
tanah runtuh. Pencemaran tanah disebabkan oleh
aktiviti pembalakan, pertanian dan juga
pembinaan. Kawasan yang mempunyai kebarangkalian
yang tinggi untuk terkena hakisan dan tanah
runtuh ialah di kawasan tanah tinggi. Kejadian
tanah runtuh amat berbahaya kerana boleh
mengakibatkan kehilangan nyawa dan juga harta
benda. Oleh itu, adalah kurang selamat bagi
manusia membina rumah kediaman berhampiran
dengan tanah tinggi.
Sumber
air juga adalah sangat penting kepada kehidupan
harian manusia. Manusia memerlukan air sebagai
sumber minuman dan juga sumber protien. Sumber
air yang tercemar menyebabkan air tersebut
beracun dan tidak selamat diminum. Lebih malang
lagi manusia kehilangan sumber protien kerana
hidupan air seperti ikan akan mati. Keadaan ini
mungkin disebabkan oleh aktiviti pembuangan sisa
kumbahan, sisa toksik dan minyak kenderaan ke
dalam parit, sungai atau laut.
Oleh itu,
adalah menjadi tanggungjawab setiap manusia
untuk memastikan keadaan pencemaran alam sekitar
berada pada tahap yang minimum. Adalah malang
jika kita menunggu sehingga keadaan menjadi
parah ibarat telur di hujung tanduk baru kita
hendak berusaha mengawalnya. Keadaan menjadi
tidak berguna sekiranya nasi telah menjadi bubur.
|