|
Contoh 2
Contoh
Karangan : Gambar Bersiri
Lihat
gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat
anda berdasarkan gambar tersebut.
Panjang
huraian anda antara
200 hingga 250 patah perkataan.
SEMANGAT
KEJIRANAN

Sumber grafik :
Buku Aktiviti Pendidikan Moral 5,
oleh Mohd. Ali Abd.
Hamid, Berita Publishing Sdn. Bhd. 1986.
Contoh Jawapan
Jiran ialah
sekelompok masyarakat setempat yang tinggal
berhampiran antara satu dengan lain. Jiran
diibaratkan sebagai saudara kandung tempat kita
mengadu tatkala berada dalam kesusahan atau
hendak mengadakan majlis keramaian. Jiran yang
baik ibarat cubit peha kiri peha kanan pun
terasa amat sukar ditemui.
Semangat
kejiranan wajar dipupuk kerana melaluinya kita
dapat mewujudkan masyarakat yang bersatu padu.
Hal ini dapat dilaksanakan melalui budaya
ziarah-menziarahi semasa perayaan besar seperti
Sambutan Hari Raya, Tahun Baru Cina atau
Deepavali. Selain itu kita juga boleh berkunjung
ke rumah jiran ketika mereka mendapat musibah
atau sakit. Kunjungan kita ke rumah jiran
mungkin dapat melegakan penderitaan yang mereka
alami dan secara tidak langsung mengeratkan
hubungan silaturahim.
Semangat
kejiranan juga berupaya mewujudkan masyarakat
yang prihatin. Hal ini boleh terjadi seandainya
jiran tetangga saling mengambil berat di antara
satu dengan lain. Hubungan yang terjalin akan
memudahkan kita untuk meminta bantuan ketika
dalam kesusahan. Selain itu, kita juga boleh
mengharapkan jiran memerhatikan rumah kita
semasa kita pulang ke kampung atau pergi
melancong. Pada masa yang lain mungkin kita pula
akan dipinta oleh mereka untuk berbuat perkara
yang serupa.
Semangat
kejiranan yang dipupuk juga memudahkan tugas
yang besar dilaksanakan secara bergotong-royong.
Apabila hubungan sesama jiran sudah menjadi
akrab sesuatu tugas yang berat dan besar seperti
membersihkan kawasan kampung atau perumahan
dapat dilaksanakan secara bersama-sama tanpa
sebarang masalah. Justeru, tugas yang berat
menjadi mudah laksana hati kuman sama dicecah
hati gajah sama dilapah. Lantas suasana yang
harmoni dapat dibentuk dalam masyarakat.
Kesimpulannya, semangat kejiranan wajar dipupuk
dalam masyarakat kita agar masyarakat dapat
hidup dalam keadaan harmoni. Sekiranya hal ini
dapat dilakukan maka akan tercapailah cita-cita
negara untuk membentuk masyarakat yang bersatu
padu dan penyayang.
|